Sesekali dia akan bercakap-cakap dengan dirinya sendiri. Mengira-ngira sesuatu, meluahkan rasa hatinya. Dia mungkin nampak aneh pada pandangan orang lain, tapi ada sesuatu tentang dirinya yang mengundang rasa ingin tahu. Siapa dia sebenarnya?
" Ramai orang dah banyak tolong kitorang. Rasa nak balas je jasa diorang." Siapa? Apa jasanya?
" Nak puasa pertama kat rumah. Yela, kalau tak nak buka puasa dengan siapa?" Dia tinggal dengan neneknya.
Sesuatu mengatakan dia perlukan seseorang untuk berbicara. Sewaktu rehat, kelihatan dia menyenaraikan barang-barang yang perlu dibeli untuk bulan puasa. Perancangan membeli barang dibuat setelah dia memohon cuti sebelum sibuk untuk bulan puasa.
Banyaknya!
"Dulu kat S*** M*** ada jual beras yang paling murah tu. Sekarang dah bankrup tak de dah la." Dia susah hati memikirkan beras paling murah untuk dibeli.
"Anak sulung ke?" Soalan itu meluncur ke luar dari mulut yang gatal ingin bertanya- penuh rasa ingin tahu.
"Adik beradik berapa orang?"
Dia anak sulung dari empat adik beradik. Masing-masing dijaga oleh keluarga berlainan. Dia dijaga neneknya, manakala yang lain masing-masing dijaga oleh ayah, pakcik dan makcik.
"Ayah kahwin dengan orang ******** (sebuah negara lain). Dulu lahir kat Johor, tapi membesar kat sini."
Ibu dan ayahnya berpisah sejak dia berumur tujuh tahun. Ibunya telah kembali ke negara asalnya dan mempunyai keluarga sendiri- dia tidak langsung lagi pernah berhubung dengan ibunya. Di risau memikirkan kad pengenalan adiknya yang bermasalah- status warganegara dalam surat beranak adalah negara ibunya. Dia telah ke pejabat pendaftaran di sini, Klang malah ke Pejabat Kedutaan di Putrajaya, tapi masih belum selesai- akibat kesilapan semasa mula mendaftar sijil kelahiran.
"Risau kita. Nanti PMR susah, takut tak boleh ambik. Dah la budak pandai."
Untuk keluarga yang sering menerima bantuan orang lain, hanya pelajaran penyelamat yang dilihat mampu digunakan untuk mengeluarkan diri dari belenggu kehidupan yang sebegitu.
"Dulu ada dapat tawaran kat **** tapi ayah tak kasi pergi sebab tak mampu. Ayah tak kasi pinjam PTPTN- banyak sangat nak bayar. Ayah mintak tolong kawan dia masukkan tingkatan 6. Tengokla tahun depan."
Ah, dia cuma 18 tahun. Aku tak tahu betapa banyak lagi perkara yang perlu dia fikirkan. Bila dia melihat kawan-kawan sebayanya masing-masing sibuk menyebut-nyebut kemasukan mereka ke Uni bulan 9 ni. Dia juga tiba-tiba mengatakan dia mahu berhenti- mahu sambung belajar bulan 9 ni- dia minta catering- tapi ayahnya lebih suka dia masuk tingkatan 6.
Hampir saja aku jadi orang yang memandang aneh pada dia. Mungkin dapat bercerita perihal keluarganya pada seorang asing seperti aku saja sudah cukup untuk melapangkan sedikit kekusutannya- aku bersyukur aku mampu bertanya.
Semoga Allah mudahkan segala urusan dan dilapang dan luaskan rezekinya. Dia mahu balas budi semua orang, dia mahu adik-adiknya berjaya, dia juga mahu berjaya.
Siapalah aku yang dah hidup 23tahun ni kalau nak dibandingkan dengan dia yang dah tahu mana beras mahal, mana beras murah. Sibuk nak cari sayur untuk dimasak. Bangun pagi pergi kerja pun mak masakkan, dia semua kena buat sendiri. Kalau lewat abang-abang aku, mak aku boleh jugak hantar. Dia kalau lewat ayah dia dah pergi kerja- cuti saja la jawabnya.
Kenapalah aku hampir saja memandang sinis dia? Mungkin dah pandang pelik - syukur aku ada belajar psychology sikit dulu.
Manusia...
No comments:
Post a Comment